Teknik Celupan Shabby Souvenir Shoppe

(Post: Bahasa Melayu)
"Tidak dinafikan seni celupan ini sudah lama tetapi alirannya mungkin terlalu baru di negara ini. Bagi mereka yang merasakan kurang kemampuan untuk membeli barangan asli hiasan Inggeris, inilah cara merealisasikan impian."

Teknik celupan (decal) berasaskan bunga-bungaan Inggeris dengan latar mawar antara elemen yang semakin segar dalam merias barangan.

Selain boleh diperoleh dengan mudah dan murah, seni celupan yang memanipulasi kreativiti diri menjadikannya amat istimewa kerana ia mengesan sejauh mana bakat dan kebolehan diri.

Jika dulu, untuk mendapatkan barangan yang berunsur hiasan ala Inggeris agak sukar dan mahal harganya, namun kini, segala barangan di rumah daripada pinggan, mangkuk hingga ke peralatan dapur mampu diolah mengikut kreativiti diri.

Menurut pemilik Shabby Souvenir Shoppe, Mazni Abu Bakar, kebolehan menggunakan bakat dan kerajinan mampu menghasilkan corak celupan menarik lagi eksklusif.

"Jika mahu menguji kebolehan diri, cari saja barangan kosong berlatar putih. Apa saja barangan seperti dulang, lesung kayu, alat penyiram bahkan soket elektrik boleh dihias dengan celupan bunga-bungaan Inggeris.

"Hasilnya, olahan barangan atau perhiasan di rumah menjadi sesuatu yang indah lagi berseni," katanya yang menjalankan operasi syarikat di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Terasa asyik jika berkunjung ke kedai dua tingkat yang kebanyakannya dihiasi pelbagai barangan itu. Daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar barangan, pasti ada pesona tersendiri apabila elemen itu turut menggarap idea berguna untuk menjadikan barangan tampil mewah serta eksklusif.

"Menghasilkan celupan sebegini, pilih apa saja barangan di kedai biasa asalkan ia kosong dan berwarna putih. Sebagai langkah pertama, boleh memulakannya dengan membeli set pinggan mangkuk sebagai percubaan.

"Jika mencuba menghias untuk setengah dozen, pasti teringin untuk menghias sedozen dan seterusnya malah ia boleh menjadi satu hobi yang mengasyikkan," katanya.

Kebanyakan perhiasan di kedainya bukan hanya bersandarkan keinginannya semata-mata kerana dia juga banyak mengkaji kehendak dan cita rasa pelanggan mengikut aliran semasa yang sukakan gaya Inggeris. Untuk itu, dia juga sering ke Taiwan, China, Korea bahkan ke serata dunia untuk memenuhi kehendak orang ramai.

"Dengan melakukan sendiri, pasti memberi kepuasan yang lebih berganda kepada mereka yang berhemah menjaga bajet kewangan dalam keadaan ekonomi gawat," katanya yang cuba memperkenalkan celupan untuk kotak khas bagi melindungi soket elektrik di rumah.

Sumber: myMetro

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

More

Cari Idea di Sini